Pagi masih terlalu awal. Mataku sudah tidak mampu untuk terlelap selepas bangun untuk mengerjakan solat Subuh. Aku hanya bermalasan di atas katil sementara menanti pagi bertukar cerah. Kelesuan tubuh tua ku menghalang aku untuk bergerak cergas mencari rezeki seperti zaman muda dulu. Dulu, tatkala usai mengerjakan solat Subuh, aku sudah mula menginjak tanah basah berembun. Tapi kini, kudrat ku terlalu terbatas. Kebun sayur yang terletak di kaki bukit Kampung Berangan, peninggalan suamiku sudah sedikit terabai sejak akhir-akhir ini. Aku tiada upaya untuk meluas dan membersihkan kebun tersebut. Hanya yang mampu aku lakukan, melihat-lihat jika ada serangga perosak yang cuba memusnahkan sayuran di kebun itu. Rumput dan lalang yang gemar tumbuh menghiasi kebunku akan ku pinta tolong dari Asri untuk menebasnya. Asri, anak muda yatim piatu yang sopan dan ikhlas membantuku tanpa meminta balas. Aku bersyukur kerana mengenali anak muda itu. Malah Asri sudah ku anggap sebagai anak ku sendiri.

Memikirkan tentang anak, air mataku mengalir perlahan membasahi pipi ku yang penuh kedutan. Aku punyai dua anak hasil rasa cinta dan sayangku kepada suami tercinta. Seorang putera dan seorang puteri. Memiliki mereka membuat aku dan suamiku gembira dan bahagia. Mereka adalah aset yang paling berharga untuk kami. Suamiku yang hanya bekerja sebagai kerani dalam Perkhidmatan Awam sanggup memerah tenaga dengan membuka sebidang kebun sayur untuk diusahakan. Semuanya kerana rasa kasih dan sayang yang tidak terhingga pada dua permata kami. Kebun sayur itu kami usahakan bersama. Semuanya untuk menampung perbelanjaan kehidupan dua permata kami. Pendapatan suami ku sebagai kerani tidak mampu untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Biarpun hanya bertambah dua ahli keluarga, namun untuk memberi kehidupan yang lebih selesa kepada dua permata kami, kami sanggup untuk mengerah segala tenaga dan menitikkan keringat di kebun sayur itu. Sayuran hasil dari usaha kami itu, kami akan jual di pasar malam di Pekan Meranti yang terletak 3 kilometer dari rumah kami. Walaupun terasa perit, namun tetap diteruskan juga demi anak-anak tersayang.

Air mataku mengalir lagi. Kali ini mampu membuatkan bantal usang yang melapik kepalaku basah. Aku sedikit teresak tatkala kenangan lalu bersama suami ku menyesak dada. Pemergiannya juga menyebabkan hatiku terguris perit. Suamiku pergi menyahut panggilan Ilahi.  Kemalangan jalan raya meragut nyawa suamiku. Orang yang bertanggungjawab menyebabkan kemalangan tersebut sehingga kini tidak diketahui di mana menghilangnya. Suamiku mangsa langgar lari. Kematiannya meninggalkan aku sendiri untuk membesarkan dua permataku. Ketika itu, putera sulungku baru berusia 10 tahun.  Dan puteriku baru berusia 8 tahun. Keperitan lebih ku rasai ketika aku mengetahui suamiku tidak meninggalkan sedikit harta pun kepada ku untuk membesarkan anak-anak. Wang insurans dan pampasan dari pihak kerajaan hanya tinggal sedikit setelah digunakan untuk urusan pengebumian suamikku. Duit KWSP suamiku pula, rupanya habis digunakannya untuk memberi rawatan kepada puteraku yang jatuh sakit ketika berusia 4 tahun. Sakit puteraku itu terlalu merbahaya hingga terpaksa menjalani pembedahan dengan kos yang terlalu tinggi bagi kami yang serba kekurangan. Puteraku menghidap sakit ketumbuhan dalam perut. Dalam usia sebegitu kecil dan muda, puteraku sudah menerima dugaan hidup. Nasihat doktor terpaksa kami turuti demi melihat puteraku dapat terus hidup di masa depannya dengan melakukan pembedahan yang hampir menelan ribuan ringgit. Mujurlah suamiku seorang yang berjimat. Wang KWSPnya tidak di ganggu gugat. Dengan wang KWSP dan sedikit pinjaman dari pihak bank, puteraku kini masih lagi menjalani hidupnya. Cuma kebun sayur itu sajalah yang menjadi sumber rezekiku untuk membesarkan anak-anak yang ketika itu masih belum kenal erti keperitan hidup.

‘Assalamualaikum…!’ salam kesejahteraan itu menyedarkan aku dari kenangan lalu. Aku bangkit dari pembaringan seraya mengesat sisa air mata di pipi tuaku. Aku menjengah keluar tingkap yang terbuka sejak Subuh tadi. Langit sudah terang. Matahari juga sudah menyinari alam. Rupanya aku sudah terlalu jauh hanyut dengan kenangan silam.

‘Waalaikumsalam…oh..Asri. Sekejap ye. Mak Mah bukakan pintu.’ Salam kesejahteraan itu ku sambut dengan ikhlas. Mata tuaku tertancap pada sesusuk tubuh yang sangat ku kenali. Asri. Aku bergerak perlahan ke ruang hadapan rumahku. Selak pintu ku tarik. Tatkala pintu sudah terbuka luas, terpacak Asri di depan mataku. Asri tersenyum mesra.

‘Apa khabar Mak Mah? Sihat?’ tanya Asri seraya menghulurkan tangannya. Asri tunduk mencium tangan tuaku yang sudah berkedut seribu. Aku terharu. Namun air mata yang hampir mengalir mampu kutahan dari tumpah.

‘Sihat…Alhamdulillah..Asri sihat? Apa mimpi nak jumpa Mak Mah ni?’ tanyaku sambil melabuhkan punggung di anak tangga yang sudah mula di makan anai-anai. Mungkin sebulan dua lagi, anak tangga itu tidak dapat digunakan lagi. Aku mula berkira-kira untuk membaiki anak tangga itu. Tangan ku menguis alur yang di bina anai-anai itu.

‘Hmm…anai-anai tu kena buang tu Mak Mah. Kalau tak, rosak la tangga Mak Mah ni. Nanti saya tolong Mak Mah buang. Kalau tak pun, tukar jer anak tangga tu. Kat rumah saya ada papan yang tak guna. Hari tu masa kerja merobohkan rumah setinggan kat kampung sebelah, banyak papan yang di buang macam tu jer. Saya ambil la,’ terang Asri panjang lebar tanpa ku pinta. Aku hanya tersenyum. Sungguh baik budi pekerti Asri. Biarpun aku orang yang tiada kaitan kekeluargaan dengannya, namun Asri membantuku seperti aku ibunya. Aku mengeluh tanpa sedar. Kenapa anak-anak ku tidak sepertinya?

‘Kenapa Mak Mah? Mak Mah sakit ker? Tiba-tiba mengeluh? Kalau pasal nak baiki tangga Mak Mah ni, janganlah Mak Mah risau. Saya ikhlas nak tolong Mak Mah. Saya dah anggap Mak Mah macam mak saya. Saya datang ni pun sebenarnya nak jenguk Mak Mah. Saya rasa dah dekat nak 2 minggu saya tak jenguk Mak Mah. Sibuk sikit Mak Mah.’ Kata Asri lagi. Aku terharu. Bibir tuaku mengukir senyuman. Sedikit rasa bersalah menghimpit jiwaku. Asri sudah banyak membantuku. Biarpun adakalanya Asri sibuk dengan urusannya sebagai pegawai di Jabatan Pembangunan Daerah di pekan kecil itu, namun dia masih punyai masa menjenguk dan bertanya khabar. Adakalanya jika Asri cuti hujung minggu, dia akan membantuku di kebun sayur. Menolong aku menebas rumput dan lalang. Aku benar-benar bersyukur dengan kehadiran Asri di dalam hidupku.

‘Mak Mah..? Kenapa Mak Mah tenung muka saya macam tu?’ pertanyaaan Asri itu mengejutkan aku dari lamunan. Sejak akhir-akhir ini, aku sering mengelamun. Aku tersenyum lagi.

‘Tak ada apa-apa la asri. Mak Mah cuma kesian dengan Asri. Masa cuti hujung minggu macam ni, sekali-sekala tu pergi la ke bandar. Jalan-jalan ke? Cuci mata ke?’ kataku sambil ketawa kecil. Asri juga ketawa kecil mendengar celotehku. Dia menggeleng kepala.

‘Malas la nak pergi bandar Mak Mah. Bukan nya ada yang menarik pun kat bandar tu. Nak cuci mata pun tak selera.Cuci mata kat kampung ni lagi elok. Banyak lagi gadis-gadis sopan kat kampung ni berbanding kat bandar tu. Dedah sana, dedah sini. Uh…tak selera.’ Kata Asri menyangkal sarananku. Aku hanya ketawa senang. Benar kata Asri. Kehidupan di bandar sebenarnya tiada apa yang menyeronokkan. Cuma hanya ada keseronokan duniawi yang sementara. Jika tersilap percaturan, hidup boleh porak-peranda. Wujudlah anak-anak muda yang bergaul bebas, lumba haram dan pelbagai masalah sosial yang aku tidak tahu untuk menyebutnya. Zaman mudaku dulu, tidak timbul masalah sebegini. Anak gadis zaman ku dulu masih lagi menghargai maruah diri dan keluarga. Aku menggeleng kepala tanpa ku sedar Asri asyik melihat gelagatku sambil tersenyum.

‘Mak Mah…Mak Mah…kenapa ni Mak Mah? Sejak saya datang tadi Mak Mah asyik mengelamun je. Kenapa ni?’ tanya Asri sedikit kehairanan. Suaranya terkandung sifat mengambil berat tehadapku.

‘Entahlah…macam-macam perkara yang terlintas kat kepala Mak Mah ni Asri. Biasalah Asri, dah tua ni…kadang-kadang tu banyak perkara nak kena fikir. Lebih-lebih lagi bila hidup sorang-sorang ni.’ Terangku cuba menjelaskan perkara sebenar.

‘Mak Mah..maaf ye kalau saya tanya. Anak-anak Mak Mah tak pernah balik ke jenguk Mak Mah?’ tanya Asri.

‘Mereka sibuk Asri. Biasalah duduk bandar ni. Banyak perkara kena urus. Hidup kat bandar, kos hidupnya tinggi. Jadi mereka kena la berusaha cari pendapatan lebih sikit. Mereka bukan tak nak balik, cuma sibuk je.’ Terangku menjawab soalan Asri. Aku sedikit berbohong. Cuma untuk meredakan kesedihan dan rasa terkilan yang tiba-tiba menghambat diri. Dua anakku, Haris dan Harisah yang sudah berkeluarga dan hidup di bandar tidak pernah pun bertanya khabar apatah lagi untuk menjengukku di sini. Sejenak, timbul rasa bersalah di hatiku kerana membohongi Asri. Sedangkan anak muda itu sudah terlalu banyak membantuku. Namun bukanlah sifatku untuk menghina dan manjatuhkan maruah orang lain lebih-lebih lagi anak kandung ku sendiri di depan orang lain. Biarlah hanya aku yang tahu dan merasa peritnya.

‘Macam mana sibuk pun Mak Mah, seorang anak masih ada tanggungjawab terhadap ibunya. Takkan lah sehari pun tak der masa nak jenguk Mak Mah kat kampung ni. Bandar dengan kampung ni bukanya jauh sangat pun. Balik kampung pagi, petang tu balik la semula ke bandar. Lainlah macam saya ni. Dah takder mak bapak. Hidup sebatang kara. Tak tau kat sapa nak tumpahkan kasih sayang. Nasib baiklah ada Mak Mah yang dah saya anggap macam ibu saya sendiri.’ Luah Asri sayu. Aku hanya mendiamkan diri. Keluhan yang terkandung bebanan perasaan, ku luahkan. Asri mendongak melihat wajahku.

‘Erm…maafkan saya Mak Mah. Bukanlah saya bermaksud nak masuk campur urusan keluarga Mak Mah. Tapi saya kesian dengan Mak Mah. Hidup seorang diri kat rumah ni. Kalau terjadi apa-apa kat Mak Mah, macam mana?’ kata Asri. Wajahnya ku lihat sedikit tersimpan rasa bersalah. Aku tidak marah dan terkilan dengan kata-katanya. Benar apa yang dikatakannya. Walau sibuk bagaimanapun, tanggungjawab terhadap orang tua harus dilaksanakan. Namun apalah dayaku. Untuk mencari mereka di bandar, aku tiada kudrat. Lagipun aku tidak tahu di mana mereka menetap.

Aku melemparkan senyuman ke arah Asri untuk menyatakan yang aku tidak marah terhadap kata-katanya. Kepala Asri ku usap penuh kasih seperti anakku sendiri. Sayangku kepada Asri sudah seperti sayangku kepada anak-anakku. Air mata yang cuba ku tahan dari tadi, tumpah jua membasahi pipi. Kenapakah anak-anakku tidak seperti Asri. Apakah selama ini tidak cukup pendidikan agama, kesenangan dan kasih sayangku terhadap mereka hingga sanggup untuk melupakan aku sebagai ibu yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan mereka? Adakah setiap titik peluh yang tumpah membasahi bumi demi mencari sesuap nasi untuk mengenyangkan mereka tiada membawa sebarang erti dan terkesan di hati mereka? Air mataku semakin laju mengalir. Jariku yang hanya diselaputi kulit mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Tangan ini lah yang ku gunakan untuk memegang cangkul, menanam sayuran, dan menjualnya di pasar malam. Tangan ini jua lah yang telah menyuapkan nasi ke mulut anak-anakku ketika mereka merengek kelaparan. Aku sanggup mengikat perut asalkan anak-anakku sihat. Harapanku ketika itu hanya satu. Jika mereka sihat, mereka dapat belajar dengan senang. Dan apabila mereka berjaya, bolehlah aku menumpang senang di hari tua. Namun harapan hanya tinggal harapan. Tangan tuaku kini masih lagi memegang cangkul dan menanam sayur untuk sesuap nasi bagi mengalas perut tuaku. Asri menandang wajahku. Matanya juga ku lihat tergenang air jernih. Asri menggenggam tanganku. Dikucupnya perlahan. Air panas terasa di tanganku. Asri menangis kecil. Air mataku yang mampu ku tahan dari terus mengalir tadi, membasahi kembali pipiku. Aku terharu. Hatiku benar-benar tersentuh dengan kasih sayang yang diberikan Asri. Asri sudi mengucup tangan tuaku yang sebenarnya ku harapkan anak-anakku yang melakukannya.

‘Terima kasih Asri. Mak Mah benar-benar menghargai kasih sayang Asri. Mak Mah pun dah anggap Asri macam anak Mak Mah sendiri. Asri jangan lah sedih ye. Mulai sekarang, Asri panggil Mak Mah, ibu.’kataku memujuk Asri yang masih lagi menangis tersedu. Air mata yang mengalir di pipinya ku kesat perlahan dengan jariku. Aku tersenyum senang. Hatiku yang tadi rawan kini sedikit terdetik bahagia. Mungkin ini balasan terhadap kesabaranku menghadapi kerenah anak-anak yang tidak menghargai pengorbananku. Dikurniakan seorang anak dari rahim wanita yang sudah pergi menyahut panggilan Ilahi bagi menggantikan anak-anak yang lahir dari rahimku.

‘Terima kasih Mak Mah…erm…ibu…insyaAllah, selagi saya masih berdaya, saya akan jaga ibu. Dan cuba kembalikan anak-anak ibu ke sisi ibu. Terima kasih ibu.’kata-kata Asri mengundang rasa terharu di hatiku. Walaupun dia bukan darah dagingku, namun sanggup untuk menjagaku di penghujung usiaku.

‘InsyaAllah….dah lah…dah lewat ni. Ibu sebenarnya nak ke kebun ni. Nak ikut? Rasanya hari ni buah tomato dan terung asam dah boleh petik. Kalau Asri tak sibuk, boleh tolong ibu kat kebun?’kataku mengubah tajuk perbualan. Air mataku sebenarnya sudah kering untuk menangisi nasib yang melanda diri. Aku hanya mampu berdoa semoga hati anak-anakku terbuka untuk kembali ke kampung ini bagi mangubat kerinduanku terhadap mereka.

‘Hmm…tujuan saya ke sini tadi pun nak tolong ibu kat kebun. Tapi, berdrama sedih la pulak.’kata-kata Asri mengundang tawaku. Asri sememangnya suka berlawak. Kerana itulah hatiku senang setiap kali dia datang menjengukku.

Aku bangun dengan sedikit kepayahan. Sakit pada sendi lutut sering menghambatku. Inilah penyakit orang tua sepertiku. Aku tidak boleh duduk bersimpuh di lantai. Jika terpaksa, aku akan mengalami kesukaran untuk bangun. Ku ketuk sedikit lututku untuk melegakan kesakitan. Setelah rasa sakitnya mula surut, barulah aku mampu untuk bergerak. Pintu depan ku tutup dan ku kunci begitu sahaja. Ah…tiada siapa yang akan mencuri di rumah burukku. Apalah saja barang-barang berharga di rumah ku itu selain katil usang dan almari buruk. Pencuri pun ku kira akan berfikir beratus kali untuk mencuri.

Aku terbongkok-bongkok di bawah rumah mencari sabit dan bakul. Asri bergegas membantuku. Bakul diambilnya dari tangan ku. Kami beriringan berjalan menuju kekebun sayur yang jauhnya seperti menghisap sebatang rokok. Jiran-jiranku ada yang menyapu sampah di halaman rumah. Melihat aku melintasi laman rumah mereka, mereka menegurku dengan mesra. Di kawasan ini, kami sudah seperti satu keluarga. Mereka juga sudah arif dengan kehadiran Asri di sisiku kerana mereka tahu kesedihan yang menghimpitku akibat perbuatan anak-anakku. Namun aku tetap tidak pernah cuba untuk memburukkan anak-anakku. Hanya mereka sendiri yang membuat penilaian dari kehidupanku. Namun aku tidak pernah marah dan melatah atas sikap mereka. Biarlah. Mereka punyai pendirian mereka sendiri. Aku tidak berhak untuk membantah kerana aku yakin, anak-anakku tidak seperti apa yang mereka fikirkan. Suatu hari nanti, anak-anakku pasti akan pulang. Keyakinan itulah yang menguatkan hati dan semangatku untuk terus menjalani sisa hidup ini.

Setahun Berlalu

Mataku terkebil-kebil memandang atap rumah yang berlubang di sana sini. Aku kini hanya mampu terbaring lesu di katil usangku. Kemalangan yang aku hadapi seminggu lalu mematahkan segala kudratku untuk bergerak di rumah sendiri hatta untuk menunaikan solat. Aku hanya solat dengan pergerakkan mata. Air sembahyangku pula diambil oleh Kimah, jiran sebelah rumahku. Makan minumku pula disediakan oleh Asri yang kini menetap di rumahku. Alasannya supaya mudah dia menjaga dan memerhatikan ku. Aku menerimanya dengan rasa syukur.

Mengenang kembali kejadian seminggu yang lalu, hatiku rawan. Kerana kurang berhati-hati, aku terpijak anak tangga yang sudah mereput di makan anai-anai. Anak tangga itu sebenarnya sudah ditukar oleh Asri setahun yang lalu. Namun kerana sifat anai-anai sebagai perosak kayu, anak tangga itu mula menjadi mangsanya kembali. Kebiasaannya aku akan melangkau anak tangga itu ketika turun dan naik ke rumah. Asri sebenarnya berhasrat ingin menukar anak tangga tersebut seminggu yang lalu. Tapi, ianya belum dapat dilaksanakan kerana himpitan tugasnya. Aku pula tidak mampu untuk melakukannya kerana keterbatasan kudratku. Lagi pula dalam bulan Ramadhan ini, kudratku sedikit menyusut dari biasa.  Namun, mungkin sudah takdirku untuk begini, hari itu aku terpijak anak tangga yang sudah hampir reput itu. Aku terjatuh. Tulangku yang sudah rapuh mengalami keretakan. Punggungku terseliuh. Aku tidak mampu lagi untuk bergerak. Mujurlah ketika itu, Kimah menjenguk keluar untuk melihat apa yang berlaku. Kimah tergesa-gesa memanggil jiranku yang lain untuk membantuku. Aku dihantar ke klinik yang terdapat di pekan yang berhampiran. Namun, doktor tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana kecederaan tulangku terlalu serius bagi orang yang setuaku. Sejak itulah aku hanya mampu terbaring di katil. Makan disuap. Berak di cuci. Dan semuanya dilakukan oleh Asri.

Mengingatkan itu semua menjadikan hatiku sebak. Asri tidak pernah merungut. Malah semuanya dilakukannya dengan penuh rasa kasih dan sayang. Adakalanya aku terasa malu sendiri. Asri hanya anak angkatku. Tapi masih sudi membantuku mengurus diri. Anak-anak kandungku sampai sekarangpun masih belum menjengukkan diri. Mengikut kata Asri, dia gagal menemui Haris dan Harisah di bandar, mengikut alamat terakhir yang aku berikan kepadanya. Aku kecewa. Harapanku untuk merasai belaian mereka ketika aku terlantar lesu ini tidak kesampaian. Dan aku tidak pasti adakah mereka sanggup menguruskan diriku yang sudah tidak bermaya ini seperti apa yang dilakukan oleh ku ketika mereka masih kecil jika mereka pulang sekalipun.

20 tahun yang lalu…

Haris yang menghidap sakit ketumbuhan pada usia 4 tahun diserang kembali oleh demam panas ketika berusia 11 tahun iaitu setelah setahun suamiku meninggal dunia. Aku menjadi cemas. Aku bingung. Malam Haris di serang demam panas itu jugalah aku berjalan dalam kegelapan ke rumah Pak Man untuk meminta tolongnya menghantarkan aku dan Haris ke klinik. Mujurlah Pak Man sudi dan sanggup menghantar dan seterusnya menantiku sehingga selesai urusanku dengan doktor. Harisah yang ketika itu masih belum mengerti, merengek untuk di manja. Waktu tidurnya terganggu kerana terpaksa mengikut aku menghantar abangnya ke klinik. Mulanya aku ingin meninggalkan  Harisah di rumah Pak Man. Jadi apabila aku balik dari klinik nanti, aku boleh mangambilnya terus di sana. Lagipun jiran-jiranku yang lain sudah lama beradu. Biasalah apabila berada di kampung. Selepas Isyak, tiada aktiviti yang akan dilakukan. Untuk menonton TV, tiada siaran. Jadi tidur lah pilihan yang terbaik, lebih-lebih lagi keletihan memerah keringat di waktu siang terlalu menghambat diri. Namun malam itu, aku terpaksa mengganggu Pak Man. Harisah pula tidak mahu ku tinggalkan di rumah Pak Man walaupun Mak Jah cuba memujuknya. Akhirnya Harisah terpaksa ku bawa bersama. Kerana itulah dia mula merengek bila rasa kantuknya menghambat diri. Klinik Dr Wong yang di tujui kami malam itu masih lagi beroperasi. Aku bersyukur. Jika tidak, aku tidak tahu ke mana harus aku tuju untuk merawat Haris. Dan aku jugalah sebagai pelanggan terakhir Dr Wong malam itu. Haris di rawatnya dengan teliti. Aku yang menunggu di sisi Haris resah gelisah. Sudah banyak yang ku dengar kanak-kanak yang di serang demam panas akan lumpuh jika tidak mendapat rawatan yang sepatutnya. Aku hanya berdoa semoga Haris selamat. Rawatan ke atas Haris hanya selesai ketika jam mula menganjak ke angka 10. Aku bersyukur kerana kos rawatan Haris mampu ku bayar kerana Dr Wong amat arif dengan kehidupan penduduk kampung kami. Dr Wong amat disenangi dan disegani oleh penduduk kampung kami kerana sifat perikemanusiaannya. Adakalanya Dr Wong hanya memberi rawatan percuma kepada penduduk kampung yang benar-benar tidak berkemampuan.

Demam Haris hanya kebah setelah seminggu. Selama seminggu itu jugalah makan minum ku tidak menentu. Tidur malam ku juga sering terganggu tatkala mendengar rengekan Haris. Harisah yang masih terlalu mentah pula sering cemburu melihat aku terlalu memberi perhatian kepada Haris. Harisah sering cuba untuk mengambil perhatianku dengan kerenah manjanya. Untuk menyenangkan hatinya, aku melupakan sebentar Haris yang masih terbaring lesu kerana demam. Apabila hatinya sudah terpujuk, barulah aku kembali memberi perhatian kepada Haris. Selama seminggu itu jua lah kebun sayurku terabai. Duit simpanan pula semakin menyusut. Aku mula resah. Sayur petola dan labu pastinya sudah boleh diperolehi hasilnya. Namun kerana menjaga Haris, aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Untuk meminta bantuan orang kampung, mereka juga punyai tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Terpaksalah aku membiarkan labu dan petolaku di makan haiwan. Mungkin rezeki mereka.

Seminggu berlalu, demam Haris sudah mula kebah. Haris sudah mula nakal kembali. Hatiku senang. Harisah juga sudah tidak meragam lagi. Aku pula boleh kembali semula ke kebun untuk memungut hasil yang tertinggal. Mujurlah tidak semua petola dan labuku yang rosak. Buah yang masih elok, ku bawa balik. Sedikit darinya untuk makanan sendiri dan yang selebihnya akan ku jual di pasar malam.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Haris dan Harisah kini sudah muda remaja. Haris kini menduduki peperiksaan STPM. Dan Harisah pula menduduki peperiksaan SPM. Semangatku semakin membara untuk mencari nafkah bagi menampung perbelanjaan pembelajaran Haris dan Harisah. Mereka pelajar cemerlang mengikut kata guru mereka. Aku berbangga. Dalam keperitan menjalani hidup yang serba kekurangan dan bersendirian membesarkan anak-anakku, aku mampu mendidik anak-anakku hingga menjadi manusia yang berjaya. Tiga bulan kemudian, aku dikhabarkan dengan berita gembira. Haris dan Harisah lulus cemerlang. Mereka di beri biasiswa untuk meneruskan pengajian ke Universiti. Aku bersyukur. Sekurang-kurangnya dengan pemberian biasiswa dari pihak kerajaan itu, bebanan perbelanjaan pendidikan mereka dapat di atasi. Namun hatiku pilu. Haris dan Harisah serentak memasuki pusat pengajian tinggi. Tinggallah aku seorang. Namun tetapku tabahkan hati demi masa depan mereka. Bila cuti semester pula, mereka tidak akan pulang. Semuanya kerana tambang kapal terbang yang mahal. Malah aku sendiri yang menegah mereka pulang jika tidak mampu untuk membeli tiket kapal terbang. Hanya setiap kali raya sahaja mereka akan ku suruh pulang. Cukuplah dalam setahun mereka pulang sekali untuk mengubat rasa rindu hati ku terhadap mereka.

Aku terus bersendirian di rumah usang ini setelah Haris dan Harisah berjaya memperoleh pekerjaan di bandar. Aku tidak membantah. Kerana orang bekas mahasiswa seperti mereka memang sukar untuk mencari pekerjaan di kampung dan pekan yang serba kekurangan. Tahun pertama sehinggalah mereka mendirikan rumah tangga 3 tahun kemudian, Haris dan Harisah sering manghantar wang ke kampung. Tetapi, biarpun mereka sudah menghantar wang untuk kegunaanku, aku tetap menjenguk kebun sayurku. Hasilnya pula sering ku sedekahkan kepada penduduk kampung kerana wang yang dikirim Haris dan Harisah sudah mencukupi untukku. Setelah setahun mereka mendirikan rumah tangga, aku tidak menerima kiriman wang dan khabar berita dari Haris dan Harisah. Malah bila menjelang Aidilfitri juga, aku akan menyambutnya tanpa mereka di sisi. Aku mula terasa kehilangan. Adakah mereka sudah lupa bahawa mereka masih punyai ibu tua yang seharusnya di jaga dan di sayang? Keadaan itu berlarutan sehinggalah aku mampu menghadapinya. Aku hanya mampu berdoa semoga di hati mereka, masih ada aku untuk di sayangi.

Sekarang…

Air mataku mengalir lesu. Asri yang sejak tadi hanya memerhatikanku dari jauh mula mendekatiku. Dia duduk di sisiku. Mengusap lembut rambutku yang dipenuhi uban memutih. Aku melihat wajahnya. Ku lemparkan senyuman terima kasih kepadanya kerana membajai rasa kasih dan sayang seorang anak.

‘Ibu, raya dah dekat. Seminggu je lagi bu. Asri dah beli semua keperluan untuk sambut raya nanti.’kata Asri lembut. Aku tersenyum. Harapan dan doaku semoga anak-anakku akan balik raya tahun ini, kerana aku dapat rasakan yang aku tidak akan mampu untuk menunggu tahun depan. Doaku tidak pernah putus sejak awal bulan Ramadhan yang lalu. Biarpun aku kini hanya terlantar kaku di katil, aku cuba untuk berpuasa. Alhamdulillah, aku masih mampu berpuasa dan mengerjakan solat lima waktu. Dan setiap di akhir solatku itu, aku akan berdoa supaya anak-anakku pulang sebelum nyawaku diambil kembali oleh Allah.

‘Asri…Asri buatlah apa yang patut. Ibu tak berdaya lagi Asri.’kataku lemah.

‘Ibu…jangan cakap macam tu. InsyaAllah ibu akan sembuh.’pujuk Asri. Asri tunduk mencium dahiku. Aku sebak. Pengorbanan Asri terlalu besar bagiku. Aku tidak mampu untuk membalas segala budinya. Selain doaku supaya anak-anakku pulang, aku juga berdoa semoga Asri diperluaskan rezekinya dan sejahtera hidupnya didunia dan diakhirat ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

‘Asri, andainya ibu pergi nanti, dan ibu tak sempat nak jumpa anak-anak ibu, tolong carikan mereka. Katakan pada mereka, ibu maafkan mereka dan ibu terlalu sayang pada mereka. Dan kebun sayur ibu tu, ibu amanah kepada Asri untuk menjagakan. Jika Asri tidak berupaya menjaganya, juallah. Duitnya Asri gunakanlah sebaiknya. Hanya itu saja yang ibu ada untuk membalas jasa dan budi Asri terhadap ibu selain doa ibu untuk kesejahteraan Asri. Ibu rasa ibu dah tak larat lagi Asri. Asri janji yer, tunaikan segala amanat ibu.’kataku lemah. Mata Asri ku lihat tergenang air jernih. Dan tidak lama kemudian, mula tumpah dari bibir matanya. Kehangatan air mata Asri dapat ku rasa ketika menitik ke wajahku. Aku tidak mampu lagi untuk menangis kini. Air mataku sudah benar-benar kering. Cuma hatiku saja yang terasa sebak.

‘Ibu…Asri berjanji bu. Asri akan tunaikan segala amanat ibu. Asri akan jaga kebun ibu seperti ibu menjaganya dulu. Ibu, maafkanlah semua dosa Asri bu. Asri banyak buat salah kat ibu sejak ibu menjadi ibu Asri. Asri bersyukur bu kerana ibu memberi peluang pada Asri untuk merasai kasih sayang seorang ibu. Terima kasih bu.’ Asri menggenggam erat tanganku dan mengucupnya penuh keikhlasan. Aku hanya menggangguk. Aku sudah terlalu lemah untuk berkata-kata. Mataku mula terasa berat. Nafasku pula terasa sesak. Helaan nafasku mula kasar. Ketika mataku hampir terpejam, terdengar bisikan dua kalimah syahadat di telingaku. Dan hatiku mengikutnya penuh syahdu dan penuh keredhaan. Dunia ini akan ku tinggalkan tanpa sempat melihat wajah anak-anakku buat kali terakhir….

~TAMAT~

~2.48am, 16 Nov ‘08…

~Miri, Sarawak…

~Rozyana Hj Seli.

Kirim Komen

*
*