Semalam…satu perjalanan yang manjadi memori…

Hari ini…satu perjalanan yang harus diredahi…

Esok…satu perjalanan yang belum ada kepastian…

Bicara tentang semalam,

Terlalu banyak peristiwa dan nostalgia

Bicara tentang hari ini,

Menghitung setiap langkah dari setiap detik masa yang berlalu

Bicara tentang esok,

Menanti wujudnya satu harapan dan keinginan.

Tahun terakhir bagi tiga sahabat di SMK Bandar Mukim sudah hampir separuh berlalu. Afif, Maya dan Razni masih sibuk menyiapkan tugasan wajib bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM hujung tahun nanti. Namun dalam kesibukan mengharung tugasan yang membebankan, mereka masih punyai masa untuk bergurau. Makan di kantin bersama, lepak-lepak di koperasi bersama dan semuanya masih bersama. Kerana kedudukan mereka sebagai pengawas, mereka punyai hak untuk berada di luar kelas pada masa-masa tertentu. Itu lah yang sering dilakukan oleh mereka bertiga tatkala waktu kelas 20 minit di penghujung waktu. Dalam mengharungi erti persahabatan, tiada siapa menyangka yang di hati masing-masing menyimpan satu perasaan ingin disayangi melebihi dari seorang sahabat. Afif yang punyai sikap yang sopan, lemah lembut dan menghormati insan bernama wanita rupanya diminati dalam diam oleh Maya dan Razni. Namun, sama ada Maya mahupun Razni, tidak tahu yang mereka meminati jejaka yang sama. Malah bukan hanya Maya dan Razni, tetapi juga diminati oleh seorang rakan sekelas mereka, Ika. Kerana keakraban mereka bertiga, Ika cuba mencuri hati Afif dengan sikap sopan dan kecantikannya. Dan akhirnya Afif berjaya menjadi milik Ika. Bagi Maya dan Razni pula, mereka hanya berserah. Mungkin bukan jodoh. Biarpun Afif sudah dimiliki Ika, namun hubungan mereka bertiga tidak pernah goyah.

Di pertengahan percintaan Afif dan Ika, mereka berdua dilanda dugaan dan cabaran yang hebat hingga lah akhirnya terputus. Semuanya kerana seorang junior yang turut meminati keperibadian Afif. Maya dan Razni pula hanya berlagak seperti biasa. Tetap berlagak yang mereka mampu hanya menjadi sahabat kepada Afif. Masing-masing terus menyimpan perasaan yang terpendam. Pelajar junior yang meminati Afif terus-terusan cuba mengambil hati Afif. Keinginan pelajar junior tersebut mengundang rasa kasihan di hati Maya dan Razni. Maya dan Razni cuba memujuk Afif untuk menerima cinta pelajar junior tersebut. Namun Afif dengan tegasnya mengatakan yang dia tidak mahu mempunyai seseorang di sisinya selepas kecewa pada cinta yang lalu. Dia hanya mampu menganggap pelajar junior itu hanya sebagai adik. Kerana ketegasan itu, Maya dan Razni mula menaruh harapan kembali sehinggalah masing-masing membawa diri selepas tamat zaman persekolah.

2 bulan selepas keputusan SPM di keluarkan, Afif dan Razni melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6. Manakala Maya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia. Ketika di Tingkatan 6 Atas, barulah Razni mengetahui yang Maya juga menyimpan perasaan yang sama terhadap Afif. Kerana dasar persahabatan, Razni sedia berundur. Razni cuba untuk melupakan Afif dari rasa cintanya. Mungkin kerana keikhlasan hati dalam persahabatan, Razni mampu melupakan rasa cinta kepada Afif. Malah Razni juga mampu menukar rasa cintanya kepada Afif kepada rasa sayang seorang sahabat.

Masa berlalu dan akhirnya Razni dan Afif membawa diri ke Menara gading. Afif di UM, dan Razni di UUM. Maya pula masih berjuang menamatkan pelajarannnya di UTM. Ketika di tahun akhir Maya, dia sudah dimiliki oleh jejaka yang mampu menambat hatinya yang turut sama belajar di UTM. Biarpun berjauhan, kerana dasar persahabatan, mereka bertiga masih saling berhubungan biarpun tidak seakrab dulu.

Semester kedua pada tahun kedua, Afif dan Razni tidak lagi mengutus khabar berita kerana kesibukan masing-masing. Namun jauh di sudut hati Razni, dia tetap mengingati Afif dan Maya sebagai sahabat biarpun dia kini mempunyai ramai kawan di UUM. Adakalanya Razni tetap akan menghantar SMS dan Email kepada kedua sahabatnya. Dan hanya Maya yang sering membalas SMS dan email darinya. Afif pula seperti hilang dari hidup mereka berdua tanpa berita.

Suatu hari, Razni mengetahui yang Afif sudah dilamun cinta bersama seseorang yang sukar dipercayai. Mungkin kerana kesabaran dan rasa cinta pelajar junior semasa di SMK Bandar Mukim, Afif mula merasa bahang cinta darinya. Razni sedikit terkilan kerana Afif tidak memberitahunya berita gembira tersebut sedangkan sebelum ini mereka sering berhubungan. Adakah kerana Afif sudah punyai kekasih maka dia tidak mahu menghantar berita kepada Razni? Atau dia malu kerana ketegasannya hilang kerana cinta yang membara. Setelah mendapat berita tersebut, Razni cuba menjejak Afif. Email dihantar untuk mendapatkan no telefon Afif. Namun tidak di balas. Hinggalah akhirnya Razni kecewa dengan sikap Afif. Razni kini sudah tidak peduli pada sikap Afif. Biarlah. Lagipun dia juga punyai teman lain. Dan yang penting, Maya masih mengingatinya sebagai kawan. Kerana sikap Afif, Razni belajar sesuatu.

Biarlah sesibuk mana pun kita, biarlah sebahagia manapun kita di sisi kekasih, kawan itu tetap tetap kawan. Hilang kekasih mungkin ada pengganti. Hilang kawan, belum tentu ada penggantinya. Kerana setiap kawan punyai sikap yang berbeza. Hanya sahabat sejati yang mampu mengenal seorang sahabat. Dan hanya sahabat yang ikhlas terus cuba mengambil tahu ttg seorang sahabatnya. Biarpun hanya mampu mengetahui yang satu hari dalam setahun adalah hari kelahirannya. Dan biarlah hanya hari itu kita mampu mengingati sahabat tersebut dan mengutus ucapan ‘Selamat Hari Lahir’ jiga dalam setahun kita terlalu sibuk bekerja dan terlalu bahagia di samping kekasih. Kerana itu sudah cukup untuk menggembirakan seseorang yang bernama sahabat yang pernah berada di sisi kita dan melihat kita ketawa dan menangis.

~TAMAT~

Kirim Komen

*
*